Nur Jazlan tarik diri tanding Timbalan Presiden
From Utusan:
JOHOR BAHRU 26 Okt. - Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed hari ini menarik diri daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO pada pemilihan parti Mac tahun depan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pulai membuat pengumuman berkenaan ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pulai di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat, di sini hari ini.
Beliau juga mengumumkan sokongan padu serta keyakinannya terhadap gandingan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Presiden serta Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden dalam memulih serta meremajakan kembali UMNO.
Nur Jazlan memberitahu, hasrat sebenar beliau sebelum ini untuk menawarkan diri bertanding jawatan nombor dua dalam UMNO itu adalah semata-mata ingin membawa pembaharuan serta menjadi suara golongan muda di peringkat tertinggi parti.
“Penawaran diri itu jelas mendapat pelbagai reaksi terutama sekali yang memandang sinis pengumuman itu, bukan sahaja di peringkat akar umbi tetapi juga di peringkat nasional, tetapi saya rela berkorban demi parti keramat ini,” katanya.
Menurutnya, beliau sebenarnya tidak bercadang untuk menarik diri, tetapi disebabkan tiada pencalonan daripada bahagian-bahagian setakat ini, beliau akur dengan keadaan tersebut namun yakin mesej yang cuba disampaikan telah diterima oleh pihak akar umbi parti.
Beliau berharap, para pemimpin yang menawarkan diri bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden akan merangka satu pelan segera untuk memulihkan kepercayaan bukan sahaja pengundi Melayu malah pengundi bukan Melayu berikutan prestasi buruk UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum yang lalu.
“Melalui penawaran sebagai calon Timbalan Presiden, saya percaya mesej berkenaan sudah sampai bukan sahaja di peringkat akar umbi tetapi juga di peringkat tertinggi,” katanya.
Katanya, dengan penarikan diri bertanding jawatan Timbalan Presiden itu, beliau tidak berhasrat untuk menawarkan diri bertanding jawatan lain seperti Naib Presiden serta ahli Majlis Tertinggi (MT).
Sementara itu beliau berjaya mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Pulai dengan memperoleh 236 undi.
Beliau yang memimpin bahagian berkenaan sejak dua penggal lalu mengatasi pencabarnya, Datuk Osman Sapian yang juga timbalannya dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas melalui 44 undi.
Pada mesyuarat perwakilan bahagian berkenaan yang berlangsung di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat itu, sebanyak tujuh undi rosak.
Dalam pada itu, UMNO Bahagian Pulai mencadangkan gandingan Najib dan Muhyiddin untuk bertanding jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, manakala tiga pencalonan untuk jawatan Naib Presiden diberikan kepada Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.





Samalah.. saya pun tarik diri jugak
Forum Generasi Muda
http://Forum1Malaysia.blogspot.com
Blog Pilihan Generasi Muda
http://pro-faizal.blogspot.com
Aura Baru Pemuda UMNO
http://TeamPemudaUMNO.blogspot.com