Top

Jazlan: Saya tidak terkilan tiada pencalonan

October 26, 2008 Email This Post Email This Post Print This Post Print This Post Post a comment

From mStar:

JOHOR BARU: Ketua Umno Bahagian Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamad berkata, beliau tidak sedikit pun terkilan apabila tiada satu pun bahagian yang memberikan pencalonan untuk jawatan Timbalan Presiden kepada beliau.

Katanya, yang penting bagi beliau ialah menyampaikan mesej kepada Umno bahawa parti itu perlu berubah dan mesti memberikan tempat kepada orang muda sebagai satu cara untuk meremajakan parti tersebut.

Selain menyampaikan mesej itu, kata Nur Jazlan, tujuan beliau membuat pengumuman yang mengejutkan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden walaupun baru berusia 42 tahun dan dengan rekod perkhidmatan yang terhad ialah untuk melonjakkan nama Pulai ke persada nasional.

Nur Jazlan mengekalkan jawatannya sebagai Ketua Umno Bahagian Pulai setelah mengalahkan pencabarnya Datuk Osman Sapian dengan 44 undi.

Beliau mendapat 236 undi sementara Osman yang juga penyandang jawatan Timbalan Ketua bahagian meraih 192 undi.

Nur Jazlan, 42, sebelum itu menarik diri daripada pertandingan merebut jawatan nombor dua Umno setelah gagal mendapat walaupun satu undi daripada bahagian-bahagian Umno yang telah bersidang setakat ini.

“Pulai di bawah Tan Sri Mohamed Rahmat ada nama. Saya mahu mengembalikan nama Pulai ke peringkat nasional. Itulah antara sebab saya menawarkan diri bertanding jawatan Timbalan Presiden walaupun sedar yang saya mungkin tidak akan mendapat sebarang pencalonan,” kata beliau kepada pemberita di sini, semalam.

Ujar Nur Jazlan, setelah tiga minggu bahagian-bahagian Umno bermesyuarat dan beliau masih tidak mendapat sebarang pencalonan, beliau menerima mesej yang ingin dihantarkan oleh bahagian lalu mengambil keputusan menarik diri.

“Yang penting bagi saya ialah mesej yang hendak saya sampaikan sudah diterima. Kerana itu di peringkat Naib Presiden dan juga majlis tertinggi, semua yang mendapat pencalonan tinggi adalah golongan yang dikira muda,” tambahnya.

Comments

One Response to “Jazlan: Saya tidak terkilan tiada pencalonan”

  1. fjuara on November 19th, 2008 3:12 pm

    Saya terkilan jugak sikit :-)

    Forum Generasi Muda
    http://Forum1Malaysia.blogspot.com
    Blog Pilihan Generasi Muda
    http://pro-faizal.blogspot.com
    Aura Baru Pemuda UMNO
    http://TeamPemudaUMNO.blogspot.com

Got something to say?

You must be logged in to post a comment.

Bottom