Masa depan UDA terancam – Nur Jazlan
Rencana ini dikeluarkan di akhbar Utusan Malaysia, 06 Jun 2011
TIBA-TIBA sahaja UDA Holdings Bhd. atau lebih dikenali sebagai UDA, sebuah agensi kerajaan yang ditubuhkan untuk memainkan peranan meningkatkan kepentingan bumiputera di kawasan bandar menjadi tumpuan ramai.
Biarpun banyak yang dipersoalkan tentang peranan dan kejayaannya sebelum ini tetapi ia gagal sampai kemuncaknya sehinggalah timbul isu projek Bukit Bintang City Centre (BBCC) di tapak bekas Penjara Pudu Kuala Lumpur yang cukup bersejarah.
Untuk menyingkap persoalan sebenar UDA, wartawan Utusan Malaysia, NORAINI ABDUL RAZAK dan AINUL ASNIERA AHSAN menemubual Pengerusi UDA, DATUK NUR JAZLAN MOHAMED tentang kelangsungan hidup UDA dan sejauh mana peranan yang mampu dimainkannya selepas ditukarkan daripada sebuah perbadanan kepada sebuah syarikat di bawah nama penswastaan. Menurut Nur Jazlan, projek BBCC adalah penentu kepada nasib entiti itu bagi tempoh jangka panjang ketika berdepan dengan keadaan kewangan yang terus genting.
‘‘Apa yang dibuat ini adalah memberikan keutamaan kepada kepentingan UDA terlebih dahulu kerana UDA kena mempunyai kelangsungan hidup untuk membantu dan memajukan bumiputera.,’’ kata beliau sambil menyatakan UDA kini bergerak sendiri dan bersaing tanpa bantuan kerajaan selepas bukan lagi menjadi agensi kerajaan. Tidak mampu menjaga diri sendiri, bagaimana pula mahu membantu bumiputera.
UTUSAN: Bagaimana Datuk melihat projek Bukit Bintang City Centre?
DATUK NUR JAZLAN: BBCC adalah projek untuk kepentingan UDA pada jangka panjang. Apa yang dibuat ini adalah memberikan keutamaan kepada kepentingan UDA terlebih dahulu kerana UDA kena mempunyai kelangsungan hidup untuk membantu dan memajukan bumiputera. Kalau UDA sendiri tidak berkeupayaan, macam mana hendak membantunya (bumiputera). Takkanlah hanya kerana kepentingan seorang bumiputera yang bekerjasama dengan sebuah syarikat bukan bumiputera, bumiputera itu perlu diberikan keutamaan melebihi kontraktor bumiputera kecil lain, 1,400 orang kakitangan, beratus-ratus pembekal UDA, subkontraktor UDA.
Apakah komen Datuk berhubung dakwaan UDA tidak melaksanakan agenda bumiputera?
Pendapatan UDA pada tahun lalu adalah sebanyak RM488 juta. Daripada jumlah ini, 70 peratus adalah diberikan kepada kontraktor bumiputera. Sejak 1996 hingga 2010, sejumlah RM1.4 bilion kontrak diberikan kepada bumiputera. Jadi, dakwaan kata UDA tidak memberi kontrak adalah tidak betul. Ingin saya nyatakan di sini, usaha yang dilakukan untuk membantu bumiputera adalah membabitkan kos. Dulu, UDA adalah agensi kerajaan, jadi kita diberi geran untuk membeli tanah dan kos mengurus, malah tanah juga dibeli dengan murah. Tetapi sejak UDA diswastakan kira-kira 15 tahun lalu, semua keistimewaan yang dinikmati itu sudah tiada lagi. Dulu, kami dapat RM200 juta, RM300 juta daripada kerajaan, jadi boleh kami belanja terus kepada (usahawan) bumiputera. Sekarang kami tidak diberikan geran lagi dan terpaksa pula mempelbagaikan modal yang diberikan kerajaan kira-kira 20 tahun lalu untuk mendapatkan dana, lepas itu simpan sebahagian untuk kos pentadbiran dan modal tabungan baharu sebelum bakinya diperuntukkan untuk agenda lain-lain termasuk membantu bumiputera.
Jadi Datuk cuba menyatakan bahawa UDA kini berdepan dengan kekangan kewangan?
Seperti yang saya beritahu, perolehan UDA yang direkodkan pada 31 Disember 2010 adalah RM488 juta dan kos kendaliannya pula adalah RM364 juta, kira-kira 75 peratus daripada perolehan. Baki yang kami ada sebanyak 25 peratus, digunakan untuk membeli tanah dan agenda bumiputera serta tabungan masa depan. Sejak 10 tahun lalu, perolehan UDA adalah sekitar RM400 juta, sekali pernah mencecah RM500 juta, beberapa tahun berada dalam lingkungan RM300 juta sahaja. Semakin hari, bank tanah kita semakin susut kerana dimajukan tetapi perolehan tidak meningkat kerana kos semakin bertambah. UDA tidak pernah beli tanah sejak 1996 kecuali tanah yang kecil-kecil kerana tidak mempunyai cukup duit. Duit yang ada itulah digunakan untuk membayar gaji pekerja dan melaksanakan tanggungjawab sosial UDA. Jumlah bank tanah UDA sekarang hanya 382.8 hektar dan tidak semuanya berdaya maju. Kami kini hidup pada jumlah tanah yang ada, makin lama makin teruk keadaan UDA.
Bagaimana Datuk melihat masa depan UDA?
Sebenarnya masa depan UDA terancam kerana tiada tanah baharu untuk dibangunkan. Saya pernah minta Kementerian Kewangan memberikan UDA tanah semula tetapi gagal kerana dasar kerajaan adalah mendapatkan perolehan maksimum daripada tanah. Lagipun, UDA kini adalah sebuah syarikat dan bukan lagi perbadanan, sukar untuk kerajaan berikan tanah. Aliran tunai UDA sekarang pun tidak banyak daripada RM134 juta (1 Januari 2009) kepada RM125 (31 Disember 2009) dan RM123 juta (31 Disember 2010). Jumlah hari ini adalah lebih rendah kepada RM90 juta. Sedikit demi sedikit berlaku penyusutan. Sekarang pun UDA sudah tidak mampu menjaga diri sendiri, bagaimana pula untuk menjaga bumiputera kerana membantu mereka pun ada kosnya. Siapa hendak bayar kos ini? Inilah bezanya UDA dulu dan sekarang. Pandangan rakyat terhadap UDA juga tidak berubah kerana masih beranggapan UDA sebuah perbadanan atau agensi kerajaan sedangkan ia telah diswastakan sejak 15 tahun lepas.
Kenapa projek BBCC jadi tumpuan UDA ketika kewangan kritikal?
Sejak memasuki UDA setahun lalu, saya lihat keadaan UDA sebenarnya genting. Tapi, saya percaya UDA masih boleh diperbetulkan tetapi siapa hendak bantu UDA? Jadi kita kena cari jalan lain untuk memajukan tanah yang ada untuk memberi pulangan maksimum seperti projek BBCC. Sebab itu (dalam membangunkan) BBCC, UDA mencari pelabur utama (turnkey investor) yang bermakna pelabur berminat, mesti datang kepada UDA dengan duitnya sendiri. Pelabur utama atau kontraktor itu perlu menanggung semua, kalau ia hendak membuat pinjaman, dia kena tanggung sendiri. UDA juga mengenakan syarat bahawa pembangunan melibatkan bangunan milik UDA perlu didahulukan. Syarat ini penting kerana mahu mengelakkan berlaku lebihan ruang pejabat pada beberapa tahun akan datang. Kalau bangunan milik UDA lambat siap ia boleh memberi tekanan kepada UDA. BBCC adalah projek di bawah Program Transformasi Ekonomi dan projek ini tidak boleh gagal. Kalau hendak mengharap UDA memang tidak berduit, kalau ada (duit) sudah lama kita bangunkan sendiri. Jadi kami kena mencari rakan kerjasama, pelabur/kontraktor diminta membangunkan aset UDA dengan segera supaya aset ini boleh memberi pulangan kepada kami. Nilai pembangunan kasar aset UDA yang bakal dibangunkan bernilai RM600 juta.





Cabaran akn lebih mematangkan seseorg dan ia juga adalah proses bagi menuju kecemerlangan..
All d best Jazlan..