Minda: Kontraktor Bumiputera perlu jadi trend setter
Rencana ini dikeluarkan di akhbar Harian Metro, 11 Ogos 2011
MASALAH ketirisan bukan saja disebabkan faktor kerakusan segelintir kontraktor Bumiputera semata-mata kerana ia juga boleh dilihat berlaku di pelbagai peringkat pengurusan perolehan kerajaan. Walaupun pengurusan perolehan kerajaan dilengkapkan dengan undang-undang, prosedur dan arahan sebagai panduan pelaksanaan, namun ia sering dikatakan sebagai bidang pengurusan kewangan yang paling berisiko untuk berlaku ketirisan dan penyelewengan.
Ketirisan sering berlaku disebabkan percanggahan kepentingan, pilih kasih terhadap pembekal atau telah berpakat tidak melaporkan kecacatan dan kekurangan, membocorkan maklumat jabatan, mengutamakan kepentingan sendiri berbanding kepentingan orang awam dan telah menerima komisen atau suapan.
Faktor utama mengapa terjadinya ketirisan dalam menguruskan perolehan kerajaan adalah sikap penjawat awam yang tidak mengamalkan nilai-nilai murni seperti akauntabliti, integriti dan saksama dalam melaksanakan tugas-tugas yang dipertanggungjawabkan. Oleh kerana majoriti syarikat Bumiputera banyak bergantung kepada projek kerajaan untuk hidup, karenah birokrasi di peringkat ini terpaksa dihadapi sekali gus menjejaskan prestasi syarikat.
Selain itu, antara faktor lain yang perlu dipandang serius ketika ini ialah kelemahan dalam pengurusan rantaian bekalan (supply chain management). Rantaian bekalan adalah proses dan struktur yang menggabungkan input berbeza untuk menghasilkan keluaran yang memenuhi permintaan pasaran.
Ramai kontraktor Bumiputera menghadapi masalah ketirisan ini disebabkan tidak mampu bersaing dan tidak menguasai bidang kritikal� terutama aspek keupayaan kewangan dan rantaian bekalan bahan binaan yang dikuasai bukan Bumiputera. Ini mengakibatkan harga bahan tidak dapat dikawal. Apabila kenaikan harga berlaku, akibatnya kos projek berubah. Seterusnya kontraktor terpaksa membuat permohonan untuk mengubah kos (variation cost) dan ia mengurangkan keuntungan.
Beberapa kajian dibuat mendapati ketirisan itu memang tidak dapat dielakkan memandangkan kontraktor Melayu terpaksa membeli bahan binaan daripada peniaga bukan Melayu dan kos untuk bahan binaan selalunya sekitar 60 peratus daripada keseluruhan kerja pembinaan. Ini ditambah faktor sewaan jentera dan lain-lain logistik, tenaga buruh dan tenaga pakar yang biasanya disewa daripada orang bukan Melayu. Kos untuk buruh dan logistik biasanya sekitar 20 peratus.
Kontraktor Bumiputera tidak mempunyai pilihan selain menyewa jentera dan peralatan binaan yang dikuasai bukan Bumiputera kerana tidak mampu memiliki jentera sendiri. Hal ini sekali gus sukar untuk mendapatkan penyertaan lebih 25 peratus Bumiputera dalam sebuah syarikat Bumiputera kerana masalah yang dihadapi itu. Justeru, masalah ketirisan ini perlu ditangani agar tidak berlarutan dan merosakkan ekonomi negara.
Kerajaan tidak boleh terus membuang wang begitu sahaja dalam melaksanakan agenda Bumiputera kerana ia seharusnya memberikan manfaat kepada seluruh masyarakat Bumiputera. Kerajaan perlu mengubah pendekatan ini dengan melaksanakan sistem merit, membantu kontraktor Bumiputera yang benar-benar layak dan berkebolehan.
Kita lihat saja bagaimana dasar membantu Bumiputera dalam bidang pendidikan berjaya mencapai matlamatnya, dengan ramai golongan profesional Bumiputera dilahirkan. Perkongsian setara di antara kontraktor Bumiputera dan bukan Bumiputera melalui set kemahiran kerja teras dan pengetahuan sampingan akan membantu mereka menjalankan perniagaan yang menghasilkan situasi ‘menang-menang’.
Dengan membiarkan kontraktor Bumiputera ini bekerja dengan kontraktor berpengalaman dan memiliki latar belakang prestasi kerja yang baik, ia bukan saja membolehkan mereka belajar daripada kontraktor berjaya, tetapi juga diberi pendedahan dengan sikap dan komitmen teguh daripada kontraktor berkeupayaan. Tambahan pula, di samping meningkatkan daya saing dan keupayaan kontraktor untuk jangka panjang, perkongsian itu membantu Bumiputera menjadi lebih berdikari dalam memperoleh projek.
Apa yang diperlukan ialah semua rakyat Malaysia bekerjasama membentuk rantaian bekalan bersepadu 1Malaysia supaya ia dapat bersaing di peringkat global dan menjana kekayaan untuk manfaat rakyat Malaysia. Justeru, untuk melaksanakan rantaian bekalan bersepadu ini memerlukan kerjasama semua peringkat. Kerjasama erat Bumiputera dan bukan Bumiputera akan menghasilkan skala pengeluaran lebih tinggi dan sekali gus menghasilkan pendapatan boleh dikongsi semua pihak.
Ketidakmampuan untuk berintegrasi pada rantaian bekalan global adalah masalah yang dihadapi peniaga industri kecil dan sederhana (IKS) yang kebanyakannya terdiri daripada Bumiputera. Ini menyebabkan mereka terpaksa bergantung kepada subsidi yang tidak mungkin kekal selamanya akibat faktor kekangan fiskal dan sekali gus membantutkan peluang untuk mereka berjaya dalam jangka panjang. Selain itu, peranan kerajaan juga perlu ditingkatkan melalui penyemakan semula sistem pemberian kontrak kepada usahawan Bumiputera bagi meminimumkan ketirisan.
Namun begitu, kerajaan juga perlu merangka rancangan jangka panjang untuk memecah monopoli golongan bukan Bumiputera dalam rantaian bekalan bahan mentah terutama dalam industri pembinaan. Sekiranya kerajaan serius untuk membasmi kebocoran ini, cara terbaik ialah dengan mengadakan satu mekanisma bagi membolehkan tugas sebagai pembekal itu diberikan kepada agensi yang dijalankan Bumiputera.
Di peringkat kontraktor Bumiputera pula, mereka seharusnya mempunyai amanah dan mengambil langkah untuk memastikan projek yang ditawarkan dilaksanakan dengan baik tanpa disubkan sepenuhnya kepada orang lain. Kontraktor Bumiputera perlu melengkapkan syarikat dengan keupayaan teknikal yang tinggi serta memenuhi standard ISO tertentu. Selain itu, kontraktor Bumiputera perlu mendalami ilmu dan mengaplikasikan Sistem Binaan Bersepadu (IBS) dalam industri pembinaan sebagai langkah mengelakkan ketirisan. IBS adalah aktiviti pembinaan pasang siap di mana semua komponen pembinaan seperti penuangan konkrit, kolum dan rangka dibuat di kilang oleh vendor. Vendor akan membawa semua bahan binaan yang dipasang siap di kilang ke tapak binaan untuk dipasang sub-kontraktor.
Langkah menggalakkan syarikat Bumiputera menggunakan sistem ini juga membolehkan mereka dapat mengeluarkan barangan binaan dalam skala lebih besar dan berdaya saing, selain mengurangkan pergantungan kepada tenaga buruh, meningkatkan kualiti, produktiviti, keselamatan dan daya saing.
Atas sebab ini, Kementerian Kerja Raya perlu memperkasakan peranan Lembaga Perindustrian Pembinaan (CIDB) dan berharap dengan pelantikan Datuk Seri Dr Judin Abdul Karim sebagai Ketua Pegawai Eksekutif CIDB akan membantu agensi ini melaksanakan kaedah IBS dengan lebih berkesan.
Bagaimanapun, tidak ramai kontraktor Bumiputera mahu menggunakan teknologi ini memandangkan kaedah konvensional lebih mudah dan murah, tetapi ia sebenarnya merugikan bagi jangka panjang. Sikap tidak mahu berubah ini merugikan kontraktor Bumiputera, sekali gus menyebabkan mereka terus menjadi pengikut trend bukan ‘trend setter’.
Model Baru Ekonomi (MBE) yang menggantikan DEB memerlukan semua pihak bergerak dan bertindak secara kolektif. Masyarakat Bumiputera khususnya kontraktor Bumiputera akan sampai ke tahun 2020 dan menjadi dasar Malaysia mahu menjadi negara maju yang memerlukan Malaysia menjadi anggota Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) bagi mencapai sasaran negara berpendapatan tinggi.
Namun ia membawa maksud Malaysia perlu membuka perolehan kerajaan yang selama ini harta eksklusif Bumiputera kepada masyarakat bukan Bumiputera. Justeru, kerajaan perlu proaktif untuk menyiapkan kontraktor Bumiputera berhadapan dengan cabaran ini, kerana kita mahu syarikat pembinaan Bumiputera yang mampu bersaing ‘sama rendah dan sama tinggi’ dengan syarikat antarabangsa dalam membangunkan Malaysia menjadi sebuah negara maju.
Penulis adalah Pengerusi UDA Holdings Berhad, Ahli Parlimen dan Ahli Institut Akauntan Malaysia (MIA)





Salam ramadhan Dato…Saya tertarik dengan kenyataan Dato, yang mana kenyataan ini sering di perkatakan oleh org politik - “Faktor utama mengapa terjadinya ketirisan dalam menguruskan perolehan kerajaan adalah sikap penjawat awam yang tidak mengamalkan nilai-nilai murni seperti akauntabliti, integriti dan saksama dalam melaksanakan tugas-tugas yang dipertanggungjawabkan” Soalan saya apakah cadangan Dato agar pejawat awam boleh melaksanakan dengan nilai2 murni?
Berkaitan dengan IBS pula…kita harus membuat kajian apakah kesesuaiannya konsep IBS itu boleh di guna pakai untuk untuk semua projek perumahan, contoh adakah diding rumah teres 2 tingkat yg di bangunkan oleh UDA menggunakan sistem IBS (tidak menggunakan batu-bata) atau penggunaan IBS hanya sesuai di gunakan untuk rumah pangsa/flat/apartment/kondo! dan jika ianya sesuai, adakah projek perumahan spt flat byak di bangunkan oleh pemaju!
Saya juga tertarik dengan tulisan Dato’ - “kita mahu syarikat pembinaan Bumiputera yang mampu bersaing ‘sama rendah dan sama tinggi’ dengan syarikat antarabangsa dalam membangunkan Malaysia menjadi sebuah negara maju” …Pada pandangan saya bagaimana kita hendak bersaing jika kontraktor kelas F yang telah berusia lebih dari 10 tahun pendaftaran perniagaan/pengalaman tetapi masih kekal di kelas F hingga ke akhir hayat…Mengapa tidak mereka yg telah melebihi tempoh tersebut mestilah/diwajibkan menaik taraf lesen/kelas mereka kepada kelas E/D..dengan cara itu, tidaklah mereka ini menjadi “specialist:” membuat kerja2 longkang/parit / cat/dll. - Apa pandangan Dato’ dalam hal ini…
Every one admits that humen’s life is high priced, but some people require cash for various things and not every man gets big sums cash. Therefore to get good business loans and just commercial loan should be a correct solution.